PUTRAJAYA 25 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Bahagian Pengurusan Latihan (BPL), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima kunjungan profesion Terapi Cara Kerja KKM dan Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia (MOTA) bagi membincangkan hala tuju serta transformasi pendidikan Terapi Cara Kerja di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), semalam.
Sesi libat urus itu menjadi platform untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan, berkongsi perspektif serta membincangkan secara konstruktif keperluan pembangunan pendidikan dan profesion Terapi Cara Kerja agar selari dengan perkembangan bidang serta keperluan perkhidmatan kesihatan semasa.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah keperluan transformasi pendidikan Terapi Cara Kerja, keperluan klinikal dan kompetensi profesional serta hala tuju program Diploma Terapi Cara Kerja ILKKM, termasuk cadangan peningkatan kelayakan kemasukan peringkat awal dan implikasinya terhadap kurikulum, latihan klinikal serta pembangunan tenaga pengajar.
Perbincangan turut meneliti keperluan akreditasi dan standard World Federation of Occupational Therapists (WFOT), selain kesiapsiagaan program pendidikan bagi memenuhi keperluan berkenaan.
Mekanisme transisi secara terancang dan berperingkat turut dibincangkan bagi memastikan sebarang transformasi pendidikan tidak menjejaskan kedudukan serta pengiktirafan pengamal Terapi Cara Kerja sedia ada.
Sesi berkenaan turut mengetengahkan Kertas Kerja Menaiktaraf Entry Level serta hasil tinjauan bersama institusi pengajian tinggi yang masih menawarkan program diploma dan pelatih tahun akhir Terapi Cara Kerja ILKKM.
-Advertisement-
Usul serta cadangan daripada Profesion Terapi Cara Kerja KKM dan MOTA kemudiannya dibentangkan kepada BPL dan Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu (BSKB) untuk penelitian bersama.
Perbincangan turut mengambil kira keperluan profesion, kepentingan sistem kesihatan, kesiapsiagaan institusi dan kesinambungan tenaga kerja, dengan beberapa perkara dipersetujui untuk dibawa ke sesi libat urus seterusnya bagi penelitian serta tindakan lanjut pihak berkepentingan.
Sesi itu dipengerusikan Setiausaha Bahagian BPL, Puan Emillia Rosnizar Ahmad Hanipiah, dan turut dihadiri Timbalan Setiausaha Bahagian (Dasar Latihan) BPL, Puan Hadzrul Hani Masbop; Timbalan Setiausaha Bahagian (ILKKM) BPL, Encik Ram Singh a/l Hari Singh; Timbalan Pengarah Kanan (Dasar) BSKB, Encik Noor Azlan M’hamd Ajali; Presiden MOTA, Puan Nora Hamid serta Timbalan Ketua Profesion Terapi Cara Kerja KKM, Yang Mulia Tengku Asri Tengku Makhtar.
Kerjasama antara BPL, BSKB, Profesion Terapi Cara Kerja KKM dan MOTA itu diharap dapat memperkukuh pembangunan pendidikan Terapi Cara Kerja yang relevan, berkualiti dan mampu memenuhi keperluan profesion serta perkhidmatan kesihatan pada masa hadapan. – The Capital Post