Anwar Perkukuh Sokongan Peniaga Kecil

Estimate Reading Time: < 1 minute

ALOR SETAR 26 September 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam merasmikan Skim Usahawan Bangkit di Anak Bukit, Kedah, sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI memperkasa usahawan dan peniaga kecil supaya terus berkembang serta meningkatkan pendapatan keluarga.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata peniaga kecil merupakan antara penggerak penting ekonomi rakyat, merangkumi pengusaha warung, gerai, kedai kopi, restoran, hotel serta pelbagai perniagaan lain yang menjadi sumber pendapatan keluarga dan menyediakan peluang pekerjaan.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI akan terus berusaha memudahkan urusan golongan yang menjalankan perniagaan selain memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Anwar berkata hampir 2,000 permohonan telah diterima menerusi Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah, manakala bantuan peralatan sehingga RM5,000 turut disediakan melalui Geran Sejahtera MADANI menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

-Advertisement-

Beliau turut memaklumkan bahawa usaha membantu dan memperkukuh kedudukan usahawan serta peniaga kecil akan terus diperkasakan menerusi Belanjawan 2027.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kemasukan pelaburan besar dalam sektor teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor perlu bergerak seiring dengan usaha memastikan kelangsungan peniaga kecil tempatan tidak terjejas.

Katanya, pertumbuhan ekonomi dan kemasukan pelaburan perlu diteruskan, namun manfaatnya perlu turut dirasai rakyat dengan membuka lebih banyak ruang kepada peniaga kecil untuk berkembang, berdaya saing dan meningkatkan taraf perniagaan mereka. – The Capital Post