KUALA SELANGOR 26 September 2026 (The Capital Post) – Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Selangor semalam menjalankan Ops Kesan 6.0, Ops Tiris 4.0 serta pemeriksaan penandaan harga dan pematuhan pelbagai akta di sekitar Bestari Jaya dan Sungai Besar.
Pemeriksaan yang dilaksanakan semalam, 25 September 2026 itu melibatkan pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kementerian.
Hasil pemeriksaan mendapati tanda harga dipamerkan dengan jelas di premis yang diperiksa, manakala alat timbang dan sukat yang digunakan masih berada dalam tempoh penentusahan.
Pemeriksaan turut melibatkan pemantauan di stesen-stesen minyak bagi memastikan tiada aktiviti mencurigakan berlaku.
-Advertisement-
Dalam masa sama, peniaga diberikan peringatan supaya sentiasa mengambil cakna dan mematuhi peraturan serta perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDN.
Pemeriksaan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPDN memastikan pematuhan peniaga selain melindungi kepentingan pengguna melalui pemantauan di lapangan – The Capital Post