BANGI 27 September 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan gerakan Islam perlu berteraskan kekuatan ilmu, akhlak dan idealisme perjuangan, bukan sekadar bergantung kepada semangat, emosi atau sentimen.
Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, meluangkan masa menghadiri Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi anjuran WADAH, ABIM dan PKPIM di Bangi, malam ini. Majlis itu turut meraikan delegasi The Union of NGOs of The Islamic World (UNIW).
Dalam pertemuan tersebut, Anwar mengimbas kembali pemikiran Allahyarham Siddiq Fadzil yang menurutnya menekankan bahawa kebangkitan Islam tidak seharusnya dibina hanya melalui ledakan semangat, emosi dan sentimen, sebaliknya perlu didukung kekuatan ilmu yang mampu menyedarkan serta menginsafkan.
Beliau berkata gerakan kesedaran atas nama Islam akan menjadi tempang sekiranya hanya berpaksikan kemarahan, adu domba dan sentimen, sebaliknya perlu dibina melalui tradisi akliah serta idealisme yang diterjemahkan dalam pelaksanaan perjuangan.
Anwar turut mengkritik mana-mana kumpulan yang menggunakan nama Islam atau Melayu tetapi mengetepikan soal akhlak dan prinsip perjuangan. Menurutnya, gerakan Islam perlu mengelakkan kebencian, fitnah dan cacian daripada dijadikan sebagai pendekatan dalam perjuangan.
-Advertisement-
Beliau turut menekankan kepentingan usrah dalam gerakan Islam, selain memastikan tradisi turath Islami terus dipelihara sebagai panduan dalam membentuk pemikiran dan arah perjuangan.
Pada masa sama, Anwar berkata gerakan Islam perlu tegas dalam usaha membanteras rasuah, menentang pemikiran takfiri serta memperjuangkan usaha membasmi kemiskinan tegar.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan tersebut juga perlu dilaksanakan dengan mengekalkan adab dan akhlak serta menghormati kebangsaan, agar gerakan yang dibawa atas nama Islam tidak terpisah daripada nilai-nilai yang menjadi asas kepada perjuangan itu sendiri – The Capital Post