KOTA KINABALU, 28 September 2026 (The Capital Post) – Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) memperkukuh kerjasama strategik dengan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Persekutuan di negeri itu.
Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Dato’ Hj. Mohd Fauzi bin Hj. Mohd Yatim mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali bin Wahab di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah pada 24 September.
Kunjungan itu menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua agensi serta bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh penyelarasan dan penyampaian perkhidmatan awam di Sabah.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Seksyen Pengurusan Operasi (SPO), Mohd ‘Ashraf bin Mohd Noor; Pengarah JKPTG Sabah, Fazlina Hj. Abdul Rani serta delegasi JKPTG.
-Advertisement-
Dalam kunjungan berkenaan, kedua-dua pihak turut mengadakan sesi perbincangan bagi mengenal pasti ruang kerjasama yang boleh diperkukuh demi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan dan berorientasikan rakyat.
Mohd Fauzi bersama delegasi turut meninjau beberapa fasiliti di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah (KPKPS) sebelum meneruskan program seterusnya.
Kunjungan itu mencerminkan usaha berterusan kedua-dua agensi untuk memperkukuh sinergi dalam penyampaian perkhidmatan Kerajaan Persekutuan di Sabah – The Capital Post