Melaka Jadi Pentas Festival Pertukaran Budaya Antarabangsa

Estimate Reading Time: < 1 minute

AYER KEROH, 28 September 2026 (The Capital Post) – Melaka bakal menjadi pentas pertemuan warisan dan budaya serantau serta antarabangsa menerusi Festival Pertukaran Budaya: Meraikan Warisan Silang Budaya yang dijadual berlangsung dari 31 Oktober hingga 2 November 2026.

Festival yang akan diadakan di Muzium Istana Kesultanan Melaka itu dijangka menghimpunkan delegasi dari Thailand, Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, China dan Malaysia.

Persiapan program terus diperkemas menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk yang berlangsung di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, bagi menyelaras pelaksanaan dan persediaan menjelang penganjuran festival.

Antara pengisian yang dirancang termasuk International Workshop, pameran pertukaran budaya, aktiviti kebudayaan dan interaktif serta perarakan warisan.

-Advertisement-

Festival itu juga bakal menampilkan persembahan seni tradisi antaranya Mak Yong, Mek Mulung, Chingay, tarian singa, Wayang Kulit Kelantan dan Dondang Sayang.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah binti Salleh bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusof.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Tourism Melaka, festival berkenaan bakal menjadi platform untuk mempertemukan dan mengetengahkan kepelbagaian warisan serta budaya dari negara-negara yang mengambil bahagian – The Capital Post