Keperluan Pelancongan Tioman Jadi Tumpuan Belanjawan 2027

Estimate Reading Time: < 1 minute

PULAU TIOMAN, 28 September 2026 (The Capital Post) – Pemain industri pelancongan dan wakil komuniti di Pulau Tioman mengemukakan pandangan mengenai keperluan infrastruktur, pembangunan serta cabaran sektor pelancongan menerusi Sesi Libat Urus Jelajah Belanjawan 2027.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menghadiri sesi yang berlangsung pada 27 September bersama Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Haji Jumshoiry Novdany bin Mohd Sulaiman.

Sesi berkenaan menghimpunkan pemain industri pelancongan, agensi Kerajaan Daerah Rompin serta wakil penduduk Pulau Tioman bagi membincangkan potensi, cabaran dan keperluan pembangunan sektor pelancongan.

Perbincangan turut memberi ruang kepada pemain industri untuk mengemukakan cadangan bagi Belanjawan 2027, khususnya berkaitan pembangunan infrastruktur serta pembentukan ekosistem pelancongan yang lebih mampan dan berdaya saing.

-Advertisement-

Kementerian Kewangan berkata input yang diterima akan membantu kerajaan menilai keutamaan pembangunan secara lebih menyeluruh, termasuk usaha mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, memperluas peluang kepada pemain industri pelancongan tempatan serta meningkatkan manfaat ekonomi kepada rakyat.

Sesi itu turut dihadiri pegawai kanan Kementerian Kewangan dan Pasukan Belanjawan 2027.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Kewangan, sesi di Pulau Tioman menutup siri Jelajah Belanjawan 2027 dan menjadi platform bagi pemain industri pelancongan menyampaikan cadangan serta keutamaan mereka – The Capital Post