MDKD2026 Zon Utara Perkasa Literasi Digital dan Kesedaran AI

Estimate Reading Time: < 1 minute

TELUK INTAN 1 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Digital meneruskan usaha memperluas pembudayaan digital dalam kalangan masyarakat menerusi Program Minggu Digital Kementerian Digital 2026 (MDKD2026) Zon Utara yang berlangsung di Dewan Bandaran Teluk Intan, Perak, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).

Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital) Kementerian Digital, MA. Sivanesan, dan turut dihadiri Yang Dipertua MPTI, Mohd Faizal Md Kasim.

Edisi Teluk Intan memberi tumpuan kepada warga emas serta usahawan mikro dan pengusaha perniagaan kecil melalui pelbagai aktiviti yang bertujuan meningkatkan literasi digital, kesedaran mengenai penipuan dalam talian dan penggunaan teknologi bagi menyokong aktiviti perniagaan.

Antara pengisian utama ialah sesi Bicara Digital yang membincangkan langkah pencegahan penipuan dalam talian serta penggunaan platform digital untuk pemasaran dan e-dagang.

-Advertisement-

Program itu turut menyediakan Klinik Asas Kecerdasan Buatan (AI) dan sesi AI Selamat bagi membantu peserta memahami potensi teknologi berkenaan, termasuk kaedah penggunaannya secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.

Penganjuran MDKD2026 Zon Utara diharap dapat meningkatkan keyakinan masyarakat untuk memanfaatkan teknologi digital dalam kehidupan seharian dan memperluas peluang ekonomi, selaras dengan aspirasi negara ke arah Negara AI 2030 – The Capital Post