GEORGE TOWN, 17 Nov 2026 (The Capital Post) – Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua (PTJSD) terus menunjukkan perkembangan apabila Pakej 1 mencatat kemajuan fizikal sebanyak 54.61 peratus setakat 8 November lepas.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa Pakej 1 merangkumi kerja penambahbaikan laluan susur di Bulatan Persimpangan Bertingkat Timur-Barat serta pembinaan jambatan baharu di Jalan Tun Hussein Onn.
Pelaksanaan kedua-dua komponen itu bertujuan meningkatkan kapasiti jalan raya dan melancarkan aliran trafik di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, kerja bagi pakej seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan Pakej 2 hingga Pakej 5 kini berada pada peringkat akhir proses tender.
Menurut PLUS, Pakej 2 dan Pakej 5 melibatkan pembinaan di laluan antara Plaza Tol Juru hingga Hentian Sebelah Juru serta Hentian Sebelah Samagagah hingga Plaza Tol Sungai Dua.
-Advertisement-
Sementara itu, Pakej 3 dan Pakej 4 merangkumi pembinaan laluan bertingkat serta persimpangan bertingkat di antara Hentian Sebelah Juru dan Hentian Sebelah Samagagah.
Projek sepanjang 17.4 kilometer yang menghubungkan Plaza Tol Juru dengan Plaza Tol Sungai Dua itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 pengguna setiap hari.
Dengan anggaran kos sebanyak RM3 bilion, PTJSD disasarkan mengurangkan kesesakan trafik apabila 30 peratus aliran kenderaan dijangka beralih ke laluan terus baharu Juru-Sungai Dua.
Pelaksanaan projek itu turut dijangka memendekkan masa perjalanan ketika waktu puncak daripada satu jam kepada hanya 20 minit. – The Capital Post