PASIR PUTEH 1 Oktober 2026 (The Capital Post) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui Sungai Kelantan dalam operasi khas di Kampung Pasir Pekan Hilir, Wakaf Bharu, pada 26 September lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal bin Mohamad berkata, operasi tersebut dijalankan hasil maklumat risikan dan pemantauan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengesan kegiatan penyeludupan migran di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kira-kira jam 5.13 pagi, pasukan risikan yang ditempatkan di lokasi strategik mengesan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran bergerak laju dalam keadaan bergelap menyusuri Sungai Kelantan. Pengesanan dilakukan menggunakan peralatan penglihatan malam.
Susulan itu, bot ronda Maritim Malaysia bersama pasukan operasi darat digerakkan untuk memintas pergerakan bot berkenaan. Sekitar jam 6.10 pagi, operasi berjaya menahan lapan individu yang disyaki warga Myanmar, terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita, serta seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat.
Ketika serbuan dilakukan, tujuh daripada individu berkenaan ditemukan di dalam sebuah kenderaan Perodua Alza berwarna putih, manakala seorang lagi berada di luar kenderaan bersama pemandu tempatan.
-Advertisement-
Dalam operasi sama, seorang lagi lelaki yang menaiki motosikal Yamaha Y15 dipercayai melarikan diri selepas berlaku pergelutan dengan anggota Maritim Malaysia. Suspek berkenaan dilaporkan terjun ke sungai sebelum melarikan diri menggunakan sebuah bot penyeludup yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Akta Imigresen 1959/63 berhubung dakwaan memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah melalui laluan yang tidak diwartakan.
Maritim Malaysia menegaskan komitmennya untuk membanteras kegiatan penyeludupan migran dan jenayah rentas sempadan melalui pengukuhan rondaan, pemantauan serta risikan di kawasan perairan dan pesisir pantai berisiko tinggi – The Capital Post