MPMS 1 APMM Dilancarkan Di Turkiye

Estimate Reading Time: < 1 minute

ISTANBUL, TURKIYE 4 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kapal Multi Purpose Mission Ship 1 (MPMS 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilancarkan di Desan Shipyard, Istanbul, Turkiye pada 2 Oktober lalu, dalam satu majlis yang mencerminkan kerjasama erat Malaysia dan Republik Turkiye dalam bidang keselamatan serta penguatkuasaan maritim.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail dan disaksikan Menteri Dalam Negeri Turkiye, H.E. Mustafa Çiftçi; Menteri Industri dan Teknologi Turkiye, H.E. Mehmet Fatih Kacır; Panglima Tentera Laut Turkiye, Admiral Ercüment Tatlıoğlu serta wakil Desan Shipyard, Mr. Cenk İsmail Kaptanoğlu.

Majlis berkenaan turut dihadiri pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, APMM, Kementerian Ekonomi serta wakil diplomatik Malaysia di Turkiye, selain kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada wakil kerajaan Turkiye dan pemain industri perkapalan.

Pelancaran MPMS 1 diserikan dengan gimik pecahan botol yang mengandungi air laut dari Malaysia sebagai simbolik hubungan erat dan jalinan kerjasama antara kedua-dua negara, sebelum kapal berkenaan dilancarkan ke Laut Marmara.

-Advertisement-

MPMS 1 dijadualkan siap dan belayar ke Malaysia pada akhir Januari 2027 bagi memperkukuh keupayaan aset APMM dalam melaksanakan tugas keselamatan serta penguatkuasaan maritim negara.

Dalam perkembangan sama, Menteri Dalam Negeri Malaysia turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama Menteri Dalam Negeri Turkiye bagi membincangkan perkara berkepentingan bersama, termasuk usaha memperkukuh hubungan dua hala serta peluang kerjasama dan perkongsian teknologi dalam bidang keselamatan dan industri maritim.

Pembinaan MPMS 1 dilihat sebagai manifestasi kerjasama Malaysia-Turkiye yang turut merangkumi aspek pembinaan kapal, pembangunan industri maritim serta perkongsian kepakaran dan teknologi, sekali gus membuka ruang kepada penerokaan kerjasama strategik dan industri yang lebih luas pada masa hadapan – The Capital Post