HANOI, 21 November (The Capital Post) – Parlimen Vietnam pada Jumaat meluluskan pindaan undang-undang bagi memansuhkan hukuman mati terhadap enam jenis kesalahan, termasuk pengedaran dadah secara haram dan merogol individu berusia bawah 16 tahun.
Menurut Agensi Berita Jerman (dpa), undang-undang yang dipinda itu dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Mac 2027.
Enam kesalahan yang tidak lagi membawa hukuman mati ialah rusuhan, pengedaran bahan narkotik secara haram, merogol individu di bawah usia 16 tahun, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang serta keganasan yang bertujuan menentang pentadbiran rakyat.
Susulan pindaan itu, hanya empat kesalahan masih boleh dikenakan hukuman mati di Vietnam, iaitu pengkhianatan terhadap negara, pembunuhan, keganasan dan pengeluaran bahan narkotik secara haram.
Keputusan memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah dan rogol kanak-kanak mencetuskan perdebatan sepanjang proses penggubalan undang-undang berkenaan.
Beberapa anggota Parlimen berpendapat hukuman mati wajar dikekalkan memandangkan keseriusan jenayah terbabit.
-Advertisement-
Bagaimanapun, kerajaan berhujah bahawa tiada bukti kukuh menunjukkan hukuman mati lebih berkesan berbanding penjara seumur hidup dalam mencegah kegiatan pengedaran dadah.
Sebaliknya, kerajaan berpandangan usaha memperkukuh siasatan, meningkatkan kadar pengesanan serta melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah merupakan langkah pencegahan yang lebih berkesan.
Di bawah peraturan baharu itu, hukuman mati yang telah dijatuhkan bagi keenam-enam kesalahan berkenaan tetapi belum dilaksanakan akan diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup.
Pindaan terbaharu itu merupakan kesinambungan reformasi undang-undang pada Julai 2025 yang menyaksikan pemansuhan hukuman mati bagi lapan lagi jenis kesalahan. – The Capital Post