PARIS, 21 November (The Capital Post) – Bekas Perdana Menteri Perancis, Dominique de Villepin mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya presiden negara itu yang dijadualkan berlangsung pada 2027.
Menurut agensi berita Xinhua, pengumuman itu dibuat pada Jumaat menerusi satu sidang media di Paris.
De Villepin berkata Perancis kini berdepan pelbagai cabaran dan beliau sedang merangka program politik bagi mengembalikan peranan Presiden Perancis sebagai “pengimbang” dan “pembimbing” dalam landskap politik negara berkenaan.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri di bawah pentadbiran Presiden Jacques Chirac dari 2005 hingga 2007.
Pada Jun 2025, de Villepin turut menubuhkan gerakan politiknya sendiri yang dikenali sebagai Humanist France (LFH).
-Advertisement-
Nama beliau juga pernah mendapat perhatian antarabangsa menerusi pendiriannya menentang campur tangan ketenteraan di Iraq pada 2003.
Ketika itu, de Villepin yang memegang jawatan Menteri Luar Perancis menyampaikan ucapan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membantah pencerobohan Iraq yang diketuai Amerika Syarikat (AS).
Ucapan tersebut menerima pujian meluas dan dianggap sebagai antara pencapaian penting dalam sejarah diplomasi Perancis.
Pusingan pertama pilihan raya presiden Perancis 2027 dijadualkan berlangsung pada 18 April, manakala pusingan kedua, sekiranya diperlukan, ditetapkan pada 2 Mei. – The Capital Post