KUALA LUMPUR 6 Oktober 2026 (The Capital Post) – Malaysia hanya mempunyai kira-kira 27 tahun untuk membuat persediaan menyeluruh sebelum dijangka mencapai status negara tua pada 2048, susulan perubahan demografi yang berlaku pada kadar lebih pantas berbanding beberapa negara maju.
Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir berkata Malaysia telah mencapai status negara menua pada 2021 apabila penduduk berusia 65 tahun dan ke atas mencapai tujuh peratus daripada jumlah penduduk.
Berdasarkan unjuran semasa, kumpulan umur tersebut dijangka mencecah 14 peratus pada 2048, sekali gus meletakkan Malaysia dalam kategori negara tua. Negara kemudiannya dijangka mencapai status negara sangat tua pada 2060 apabila golongan berusia 65 tahun dan ke atas membentuk 20 peratus penduduk.
Akmal Nasrullah berkata tempoh peralihan Malaysia kepada status negara tua jauh lebih singkat berbanding Perancis yang mengambil masa 115 tahun, Australia 73 tahun dan Amerika Syarikat 69 tahun. Keadaan itu menjadikan tempoh persediaan negara lebih terhad, khususnya ketika Malaysia melalui proses penuaan pada tahap pendapatan yang lebih rendah berbanding negara maju ketika berada pada fasa sama.
Beliau berkata perubahan demografi berkenaan turut memberi kesan terhadap pertumbuhan tenaga kerja, kecukupan simpanan persaraan serta peningkatan keperluan terhadap perkhidmatan kesihatan dan penjagaan warga emas.
-Advertisement-
Sehubungan itu, Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) 2025–2045 kini berada pada peringkat akhir pertimbangan kerajaan sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat dalam persidangan semasa, tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri. Rangka tersebut meliputi aspek pembangunan ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan kemahiran, perlindungan sosial, keterjaminan kewangan, kesihatan serta penjagaan jangka panjang.
Dalam pada itu, kerajaan turut melihat penuaan penduduk sebagai peluang untuk mengembangkan silver economy, khususnya melalui sektor penjagaan warga emas, teknologi kesihatan dan perkhidmatan digital yang berpotensi mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan baharu.
Akmal Nasrullah berkata Kementerian Ekonomi bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan agensi berkaitan sedang merangka indikator khusus bagi membolehkan sumbangan silver economy kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) diukur secara lebih tepat.
Kerajaan turut melihat keperluan untuk menyesuaikan pendekatan pembangunan dan pengurusan bandar dengan perubahan demografi, termasuk mengambil kira kesan penghijrahan golongan muda ke bandar besar terhadap proses penuaan di sesetengah kawasan – The Capital Post