KUALA LUMPUR 6 Oktober 2026 (The Capital Post) – Pembangunan kecerdasan buatan (AI) perlu bergerak seiring dengan peningkatan keupayaan negara untuk mengawal risiko berkaitan teknologi berkenaan, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Beliau berkata pendirian itu disampaikan ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gombak, YB Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail mengenai pendirian kerajaan terhadap pembangunan serta kawal selia AI dalam sesi Pertanyaan Dewan Rakyat pada 5 Oktober.
Menurut Gobind, Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 atau Negara AI 2030 mengutamakan pembangunan AI yang bertanggungjawab, inklusif dan berimpak tinggi, dengan kepercayaan serta keselamatan menjadi antara tonggak utama dalam penggunaan dan adaptasi teknologi tersebut.
Beliau berkata pendekatan itu bertujuan memastikan penerapan AI dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti, pembangunan bakat serta daya saing ekonomi negara, tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan pengurusan risiko.
Dalam pada itu, kerajaan melalui Kementerian Digital dan AI Malaysia Berhad telah menubuhkan Malaysia AI Safety Institute bagi mengkaji mekanisme yang lebih jelas dan teratur untuk mengawal selia penerapan model AI dalam operasi organisasi merentas sektor.
-Advertisement-
Institut berkenaan turut memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus AI, termasuk penandaarasan keselamatan, penilaian risiko serta pelaporan insiden bagi membolehkan tindakan pembetulan dilaksanakan.
Gobind turut memaklumkan bahawa RUU Tadbir Urus AI sedang dirangka menggunakan pendekatan berasaskan risiko, dengan tahap kawalan dan kewajipan ditentukan berdasarkan potensi kemudaratan sesuatu sistem AI, dan bukannya semata-mata berdasarkan sektor penggunaannya. RUU berkenaan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada awal 2027.
Bagi sistem AI yang semakin berkuasa dan berautonomi serta berpotensi memberi kesan besar kepada manusia atau sistem kritikal, beliau berkata kawalan keselamatan, pengujian, pemantauan, pengawasan manusia dan mekanisme tindak balas perlu diperkukuh sebelum penggunaannya diperluaskan.
Keutamaan terhadap keselamatan itu, katanya, penting bagi memastikan pembangunan infrastruktur dan ekosistem AI di Malaysia dapat diteruskan secara bertanggungjawab, dengan risiko berkaitan penggunaan teknologi sentiasa berada dalam kawalan – The Capital Post