MADANI KITA Berapit Salur RM100,000

Estimate Reading Time: < 1 minute

BUKIT MERTAJAM 11 Oktober 2026 (The Capital Post) – Program MADANI KITA 2026 Bersama Komuniti Berapit, Pulau Pinang memperkukuh usaha pembangunan komuniti setempat menerusi penyaluran bantuan berjumlah RM100,000 bagi kerja pembaikan dan naik taraf kemudahan masyarakat.

Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, YB Encik Steven Sim Chee Keong.

Antara pengisian utama ialah penyampaian Geran Rukun Tetangga (KRT) Pulau Pinang Fasa 3 Tahun 2026 serta penyerahan cek cura bantuan khas berjumlah RM100,000 bagi membiayai kerja pembaikan dan naik taraf Pusat Rukun Tetangga serta surau di Taman Pearl.

Pelbagai aktiviti kemasyarakatan turut dianjurkan bagi menggalakkan penyertaan penduduk, termasuk pertandingan mewarna, eksplorasi MADANI, pemeriksaan kesihatan, kempen derma darah dan kenduri rakyat.

-Advertisement-

Program ini menjadi platform untuk mengeratkan hubungan kejiranan serta menggalakkan interaksi dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Pelaksanaan inisiatif berkenaan mencerminkan usaha berterusan memperkasa komuniti setempat, memperkukuh perpaduan dan membina persekitaran masyarakat yang harmoni serta sejahtera – The Capital Post