KESUMA Perkukuh Latihan Kemahiran Hadapi Cabaran AI

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 14 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mempergiat usaha meningkatkan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja bagi menangani perubahan pasaran pekerjaan susulan perkembangan automasi dan kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam kalangan pekerja berkemahiran rendah dan sederhana.

Perkara itu dijelaskan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan, ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad, di Dewan Rakyat pada 13 Oktober 2026.

Menurut beliau, KESUMA melalui jabatan dan agensinya terus memperkukuh program peningkatan kemahiran (upskilling) serta latihan semula (reskilling) bagi memastikan tenaga kerja tempatan mampu menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi dan keperluan industri yang sentiasa berubah.

Menerusi Jabatan Tenaga Manusia (JTM), kurikulum di institusi latihan dipertingkat dengan penerapan teknologi baharu seperti AI, Internet of Things (IoT), automasi, dron, teknologi hijau, kenderaan elektrik (EV) dan hidrogen. Program Akademi Dalam Industri (ADI) serta latihan jangka pendek turut mencatat penyertaan seramai 74,332 peserta sehingga 31 Ogos 2026.

Dalam masa sama, HRD Corp meluluskan 19,084 tempat latihan dengan bantuan kewangan berjumlah RM47.67 juta sehingga Ogos 2026 melalui levi Pembangunan Sumber Manusia Berhad, khususnya bagi latihan dalam bidang teknologi masa hadapan dan industri berimpak tinggi.

-Advertisement-

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula menyediakan bantuan menerusi Skim LINDUNG Kerjaya, termasuk pembiayaan yuran dan elaun latihan bagi menyokong pekerja yang berdepan peralihan kerjaya serta membantu meningkatkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan.

Usaha memperluas pengetahuan berkaitan AI turut dilaksanakan TalentCorp melalui program Jelajah AI MyMahir (JAM) dan JAMx, yang telah memberi manfaat kepada lebih 7,971 peserta merangkumi pekerja, pencari kerja, pelajar, wanita, pesara dan komuniti.

Pelaksanaan pelbagai inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan KESUMA untuk membina tenaga kerja yang lebih berdaya saing, fleksibel dan bersedia menghadapi perubahan teknologi serta keperluan pekerjaan masa hadapan – The Capital Post