iFUTURE 2026 Perkukuh Nilai Kepimpinan Generasi Muda

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 14 Oktober 2026 (The Capital Post) – Kepimpinan berasaskan nilai murni, pengaruh positif dan matlamat yang jelas menjadi antara elemen penting dalam melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berprinsip serta berupaya menghadapi cabaran era digital.

Perkara itu dibincangkan menerusi Forum Tiga iFUTURE 2026 bertajuk “Memimpin dengan Pengaruh: Membina Nilai dalam Era Digital” yang berlangsung pada 13 Oktober 2026, dengan penekanan terhadap peranan nilai dalam membentuk tindakan dan memastikan pengaruh kepimpinan digunakan secara bertanggungjawab.

Sesi tersebut menampilkan Profesor Madya Dr. Ahmad El-Muhammady dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halim, sebagai panel. Forum berkenaan dikendalikan oleh Ketua Bakat Digital Tertiari dan Keusahawanan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Nik Hishamuddin Nik Mohd Yusof.

Selain itu, sesi khas iFUTURE 2026 bertemakan “Memimpin dengan Tujuan: Membentuk Generasi Seterusnya” turut mengupas kepentingan hala tuju yang jelas dalam membimbing golongan muda menjadi pemimpin yang mempunyai prinsip dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.

-Advertisement-

Sesi berkenaan menampilkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, bersama Provos Universiti Sunway, Profesor Dr. Abhimanyu Veerakumarasivam, sebagai ahli panel. Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar Sabran, bertindak sebagai hos.

Penganjuran kedua-dua sesi ini menghimpunkan kepakaran daripada sektor akademik, pentadbiran awam dan industri digital untuk bertukar pandangan mengenai pembentukan nilai kepimpinan, penggunaan pengaruh secara beretika serta kepentingan matlamat yang terarah dalam pembangunan pemimpin muda.

Perkongsian tersebut diharap dapat menyumbang kepada usaha melahirkan generasi pemimpin yang berintegriti, berpandangan jauh dan mampu memainkan peranan bermakna dalam pembangunan masyarakat serta negara – The Capital Post