KUCHING 19 Oktober 2026 (The Capital Post) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meneruskan komitmen terhadap tanggungjawab sosial menerusi Program Jiwa Murni MADANI dengan menganjurkan aktiviti penanaman pokok di kawasan sekolah di Siburan, Sarawak, melalui kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.
Program yang dilaksanakan oleh Pejabat PWTL dan PSTL Kuching itu berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padawan dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad serta beberapa pihak berkaitan.
Inisiatif tersebut selaras dengan Teras Keempat Pelan Strategik Kementerian Pertahanan Malaysia yang menekankan pengukuhan kerjasama awam dan tentera atau Civil-Military Cooperation (CIMIC) demi pertahanan menyeluruh. Program itu turut menyokong fokus Kementerian Pertahanan dalam membentuk masyarakat patriotik yang menghargai keamanan dan kedaulatan negara.
-Advertisement-
Selain menyemai kesedaran tentang kepentingan penjagaan alam sekitar, aktiviti penanaman pokok berkenaan mencerminkan usaha TLDM untuk menyumbang kepada kesejahteraan komuniti setempat menerusi program kemasyarakatan yang memberi manfaat jangka panjang.
Kerjasama antara agensi kerajaan, pihak sekolah dan sektor swasta diharap dapat memperkukuh hubungan antara institusi serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar demi generasi akan datang – The Capital Post