MoF Perkukuh Kesihatan Mental Warga Kerja

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA 22 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kewangan (MoF) terus memberi penekanan terhadap kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental warga kerjanya menerusi penganjuran Hari Psikologi Kementerian Kewangan Tahun 2026 yang berlangsung di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya.

Majlis perasmian bertemakan “Resilien: Bangkit, Tumbuh dan Mekar” itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), YBhg. Dato’ Sri Ab Rahim bin Ab Rahman. Program berkenaan dianjurkan bersempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Bulan Kaunseling Kebangsaan yang diraikan pada bulan Oktober setiap tahun.

Penganjuran Hari Psikologi MoF bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kementerian mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental dan kesejahteraan psikologi. Inisiatif ini turut memberi penekanan kepada pencegahan awal serta pengukuhan kemahiran daya tindak bagi membantu kakitangan menghadapi cabaran dalam kehidupan dan persekitaran kerja.

Perkhidmatan psikologi dan kaunseling di kementerian berperanan menyokong pengurusan sumber manusia menerusi tiga bidang utama, iaitu pembangunan, pencegahan dan pemulihan. Pendekatan ini bertujuan menyediakan sokongan yang bersesuaian bagi membantu warga kerja mengurus tekanan, membina ketahanan diri dan mengekalkan kesejahteraan secara menyeluruh.

Dalam majlis yang sama, YBhg. Dato’ Sri Ab Rahim menyampaikan Sijil Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) MoF Tahun 2026 kepada 19 penerima. Seramai lapan penerima turut menerima Anugerah Pementoran Perkhidmatan Awam MoF Tahun 2026, yang melibatkan warga kementerian serta jabatan dan agensi di bawah MoF.

-Advertisement-

Program tersebut disertai kira-kira 550 peserta yang berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti, termasuk sesi perkongsian ilmu bersama mantan Timbalan Ketua Polis Negara, pakar motivasi, personaliti dakwah, aktivis dan pempengaruh. Pengisian berkenaan menyediakan ruang untuk peserta mendapatkan pandangan serta pendekatan praktikal dalam membina daya tahan diri dan menghadapi cabaran kehidupan.

Selain itu, program turut menawarkan saringan kesihatan oleh Hospital Columbia Asia serta reruai daripada pelbagai jabatan, agensi dan organisasi berkaitan. Antara yang mengambil bahagian ialah AKRAB Perbendaharaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Akauntan Negara Malaysia, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Lembaga Pembangunan Langkawi, Majlis AKRAB Kebangsaan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit. Kaunter Wang Tidak Dituntut serta jualan buku motivasi dan makanan turut memeriahkan acara.

Melalui penganjuran ini, MoF meneruskan usaha membudayakan kesedaran kesihatan mental dan memperkukuh sokongan psikologi di tempat kerja. Pendekatan berterusan ini penting dalam membina warga kerja yang lebih berdaya tahan, seimbang dan bersedia menghadapi tuntutan tugas serta cabaran kehidupan – The Capital Post