Sultan Pahang Sempurnakan Pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor UMPSA

Estimate Reading Time: < 1 minute

PEKAN 22 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menyempurnakan pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor (DTC) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada 21 Oktober, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam pembangunan prasarana dan kecemerlangan akademik universiti berkenaan.

Keberangkatan baginda selaku Tuanku Canselor UMPSA diiringi Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, yang turut menyampaikan watikah pelantikan semula baginda sebagai Canselor universiti tersebut.

Dewan baharu itu mencerminkan aspirasi UMPSA untuk melahirkan graduan berkualiti tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri dan menghadapi cabaran masa depan. Reka bentuk seni binanya diinspirasikan daripada Wau Pungguk, yang membawa simbol keseimbangan antara pencapaian di peringkat global dengan pemeliharaan budaya, nilai dan identiti tempatan.

Majlis berkenaan turut menyaksikan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada Tabung Endowmen Tuanku Canselor. Daripada jumlah tersebut, Maybank Islamic menyumbang RM200,000, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang sebanyak RM300,000, manakala Lembaga Tabung Haji menyumbangkan RM500,000.

-Advertisement-

DTC dijangka menjadi lokasi penting bagi penganjuran acara rasmi universiti, termasuk meraikan pencapaian warga akademik dan graduan. Kemudahan itu bakal memainkan peranan dalam majlis konvokesyen akan datang yang melibatkan seramai 3,345 bakal graduan.

Turut menghadiri majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asaari Mohamed Nor; Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; serta Naib Canselor UMPSA, Prof. Ts. Dr. Yatimah Alias.

Pemasyhuran DTC memperlihatkan komitmen UMPSA dalam memperkukuh kemudahan universiti, menyokong pembangunan bakat berkemahiran tinggi dan menyediakan ruang untuk meraikan kejayaan komuniti akademik, selaras dengan usaha meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara – The Capital Post