Kerajaan Perkukuh Makmal Pengesahan Dadah

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA 22 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kerajaan terus memperkukuh kecekapan perkhidmatan makmal bagi pengesahan dadah menerusi Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Pindaan Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, di ibu pejabat kementerian pada 21 Oktober.

Mesyuarat tersebut menjadi platform kerjasama antara KKM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menyelaraskan cadangan penambahbaikan perundangan serta meningkatkan kapasiti dan kecekapan makmal yang menjalankan ujian pengesahan dadah.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah penambahbaikan kerangka perundangan, peningkatan kapasiti pengujian serta penerokaan kaedah kerja yang lebih cekap bagi memenuhi keperluan pengesahan sampel. Keupayaan makmal yang mencukupi dan proses pengujian yang berkesan penting dalam menyokong pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang serta kelancaran sistem keadilan negara.

Perbincangan turut menekankan keperluan memodenkan peralatan, menaik taraf kemudahan makmal dan memperkukuh pembangunan tenaga kerja. Kerjasama strategik yang bersesuaian juga akan diteroka bagi meningkatkan produktiviti serta memastikan proses pengujian dan pengesahan dilaksanakan dengan tepat, cekap dan berintegriti.

Pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan atau whole-of-government menjadi asas kepada usaha penyelarasan tersebut. Kerjasama rentas agensi ini bertujuan memperkukuh tadbir urus, meningkatkan keupayaan institusi serta memastikan perkhidmatan makmal dapat memenuhi keperluan semasa negara.

-Advertisement-

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Ketua Pengarah Kesihatan KKM, YBhg. Datuk Dr. Mahathar bin Abd Wahab; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBhg. Datin Safida Zainab binti Mohd Piah; Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Puan ChM Marhayani binti Md Saad; serta Setiausaha Bahagian Kepenjaraan, Antidadah dan RELA, YBrs. Encik Nor Shah bin Mohamed.

Wakil daripada KDN, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) turut menghadiri mesyuarat berkenaan.

Penyelarasan ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk menambah baik perundangan dan memperkukuh keupayaan makmal pengesahan dadah, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus dan berintegriti – The Capital Post