KL20 Perkukuh Industri Cip Tempatan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 23 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Agenda KL20 terus diperkasakan melalui KL20@Kuala Lumpur 2026 dengan tumpuan kepada pengkomersialan teknologi, pembangunan inovasi tempatan dan peningkatan daya saing syarikat pemula Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir berkata, Malaysia sedang memperkukuh kedudukannya dalam industri semikonduktor bernilai tinggi menerusi kerjasama strategik antara syarikat tempatan dengan rakan teknologi global.

Antara perkembangan utama ialah kerjasama penerokaan pembangunan cip kecerdasan buatan (AI) boleh konfigurasi semula antara Silicon X dengan Tokyo Artisan Intelligence dari Jepun. Selain itu, lima syarikat Malaysia, iaitu Alphaswift Industries, Oppstar Technology, SkyeChip, GreatAsic Technology dan Xenith Technology, memperoleh akses kepada teknologi bertaraf dunia menerusi kerjasama dengan Arm.

Inisiatif berkenaan menyokong pembangunan Malaysia Semiconductor IC Design Park bagi membantu syarikat tempatan memperluas keupayaan daripada aktiviti peringkat belakang (back-end) kepada reka bentuk dan pembangunan peringkat hadapan (front-end). Langkah ini turut membuka ruang kepada penghasilan harta intelek sendiri serta peningkatan nilai ekonomi yang dapat dikekalkan dalam negara.

Setakat ini, ekosistem KL20 merekodkan sebanyak 5,016 syarikat pemula berdaftar dengan jumlah pelaburan terkumpul RM51.17 bilion dan nilai keseluruhan ekosistem berjumlah RM202.64 bilion. Malaysia Semiconductor IC Design Park pula mempunyai 24 rakan industri global dan telah melatih seramai 1,525 jurutera.

-Advertisement-

Bagi menyokong pertumbuhan ekosistem syarikat pemula dan industri semikonduktor, Belanjawan 2027 menyediakan pelbagai peruntukan serta komitmen pembiayaan. Ini termasuk RM450 juta melalui Jelawang Capital dan Dana Perintis KWAP, RM1.2 bilion melalui Khazanah dan KWAP untuk syarikat semikonduktor tempatan, RM50 juta bagi UniVC serta RM41 juta untuk inisiatif Cradle Fund.

Dalam usaha memperluas akses kepada pembiayaan, Kementerian Ekonomi bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut merancang pelaksanaan Projek Perintis Pembiayaan Berasaskan Harta Intelek (IP). Menerusi inisiatif ini, harta intelek boleh digunakan sebagai cagaran bagi mendapatkan pembiayaan daripada Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) sepanjang tempoh 2026 hingga 2027, dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Usaha tersebut mencerminkan hala tuju Malaysia untuk beralih daripada sekadar menghasilkan teknologi di dalam negara kepada membangunkan teknologi yang dimiliki dan dicipta oleh rakyat Malaysia. Pendekatan ini bertujuan memperkukuh keupayaan inovasi tempatan, meningkatkan pemilikan harta intelek dan memastikan nilai ekonomi industri teknologi terus berkembang untuk generasi akan datang.

KL20@Kuala Lumpur 2026 menjadi sebahagian daripada usaha memperluas peluang pertumbuhan syarikat pemula Malaysia serta menghubungkan kepakaran tempatan dengan rangkaian teknologi antarabangsa, menjelang penganjuran KL20 seterusnya pada 2028 – The Capital Post