PUTRAJAYA 23 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kewangan (MoF) terus memberi perhatian terhadap kesejahteraan warga kerjanya menerusi penganjuran Program Keseronokan Bekerja Tahun 2026 yang berlangsung pada 22 Oktober di Dewan Utama, Kementerian Kewangan.
Program anjuran Bahagian Dasar Saraan dan Pengurusan itu membawa tema “Gamifikasi: Burn Out to Balance” dan dikendalikan oleh motivator, Coach Airol Irwan. Pendekatan gamifikasi digunakan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang interaktif, santai dan menyeronokkan dalam membantu peserta memahami kepentingan kesejahteraan diri.
Menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan, peserta berpeluang meningkatkan kesedaran tentang diri sendiri, mempelajari cara mengurus tekanan serta membina keseimbangan emosi, mental dan fizikal dalam kehidupan seharian. Aktiviti berkenaan turut menggalakkan interaksi dan kerjasama dalam kalangan warga kerja.
Lebih 300 warga MoF menyertai program tersebut dengan penuh semangat melalui aktiviti yang menekankan keseronokan, kebersamaan dan pengukuhan hubungan sesama rakan sekerja.
-Advertisement-
Penganjuran program ini turut menyokong pelaksanaan Hari Psikologi Kementerian Kewangan Tahun 2026 yang dirasmikan pada 21 Oktober lalu. Inisiatif tersebut diadakan bersempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Bulan Kaunseling Kebangsaan yang berlangsung pada setiap Oktober.
Usaha berterusan seperti ini mencerminkan kepentingan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih seimbang dengan memberi ruang kepada penjawat awam untuk mengurus tekanan, memelihara kesihatan mental dan membina hubungan kerja yang positif.
Melalui pendekatan yang menggabungkan pembelajaran dan aktiviti interaktif, Program Keseronokan Bekerja diharap dapat meningkatkan kesedaran warga MoF tentang kepentingan kesejahteraan diri sebagai sebahagian daripada usaha membentuk budaya kerja yang sihat dan produktif – The Capital Post