MOTAC Perketat Penguatkuasaan Pengangkutan Pelancong

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING 23 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempergiat usaha memperkukuh penguatkuasaan bersepadu di Sarawak bagi memastikan pematuhan peraturan serta keselamatan pengangkutan pelancongan terus terpelihara.

Usaha itu dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu MOTAC yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Tuan Chiew Choon Man, pada 22 Oktober 2026 di Kuching, Sarawak.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, bersama pegawai-pegawai kementerian bagi membincangkan isu berkaitan operasi pengangkutan pelancongan dan penyelarasan tindakan penguatkuasaan antara agensi.

Antara perkara utama yang diberi perhatian ialah penggunaan kenderaan bukan persiaran untuk membawa pelancong, pengoperasian van persendirian tanpa kebenaran serta penggunaan kenderaan asing bagi membawa pelancong tanpa memenuhi keperluan permit yang ditetapkan.

-Advertisement-

Isu-isu berkenaan memerlukan pemantauan dan tindakan bersepadu bagi memastikan pengusaha pengangkutan pelancongan mematuhi peraturan yang berkuat kuasa. Langkah ini juga penting untuk mengurangkan risiko keselamatan serta memastikan perkhidmatan pengangkutan kepada pelancong dilaksanakan secara teratur.

Kerjasama antara agensi penguatkuasaan menjadi antara keutamaan dalam menangani ketidakpatuhan, di samping memperkukuh penyelarasan operasi dan meningkatkan keberkesanan pemantauan di lapangan.

MOTAC menegaskan komitmennya untuk mempererat kerjasama strategik antara agensi bagi membangunkan ekosistem pelancongan yang lebih selamat, teratur dan mampan. Usaha berterusan ini turut bertujuan meningkatkan keyakinan pelancong terhadap Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang berkualiti serta mengutamakan keselamatan pengunjung – The Capital Post