Rumah Melaka sebagai Hab Promosi Perkayuan

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA 23 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang meneliti potensi Rumah Melaka sebagai pusat promosi industri perkayuan negara menerusi pemanfaatan kemudahan sedia ada untuk memperluas pameran produk, inovasi dan pembangunan keusahawanan sektor berkenaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, mengadakan lawatan kerja ke fasiliti di bawah seliaan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) itu pada 22 Oktober 2026 bagi meninjau kemudahan serta mengenal pasti peluang untuk mengoptimumkan penggunaannya.

Rumah Melaka yang menampilkan keunikan seni bina tradisional Melayu Melaka berasaskan kayu mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai ruang pameran produk perkayuan tempatan, pusat mengetengahkan inovasi industri serta platform bagi menyokong perkembangan usahawan dalam sektor tersebut.

Selain meninjau kemudahan sedia ada, lawatan berkenaan turut memberi perhatian kepada peluang memperluas fungsi Rumah Melaka melalui penganjuran program berkaitan industri, promosi produk hiliran bernilai tambah dan pelaksanaan aktiviti yang dapat meningkatkan keterlibatan pemain industri.

-Advertisement-

Penggabungan elemen warisan, pelancongan dan industri perkayuan juga berpotensi menjadikan fasiliti tersebut sebagai ruang yang mempamerkan nilai seni bina tradisional sambil mengetengahkan kepelbagaian penggunaan kayu dalam penghasilan produk tempatan.

KPK bersama MTIB akan meneruskan penelitian terhadap potensi pembangunan dan penggunaan Rumah Melaka bagi memastikan fasiliti berkenaan dapat dimanfaatkan secara lebih menyeluruh untuk menyokong pertumbuhan industri perkayuan.

Usaha ini selaras dengan matlamat memperkukuh industri perkayuan Malaysia agar terus berdaya saing, inovatif dan mampan, di samping membuka ruang kepada promosi produk tempatan serta pembangunan peluang perniagaan dalam sektor berkenaan – The Capital Post