Ekspo TVET@KKDW 2026 Buka Peluang Kerjaya Anak Desa

Estimate Reading Time: 2 minutes

SABAK BERNAM, 26 Oktober 2026 – Ekspo TVET@KKDW 2026 menjadi platform untuk memperluas akses latihan kemahiran kepada masyarakat, khususnya anak desa, bagi membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, membina kerjaya serta mengembangkan perniagaan sendiri.

Perkara itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ketika merasmikan Ekspo TVET@KKDW 2026 di Pekarangan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, hari ini. Penganjuran kali kelapan ini menghubungkan masyarakat dengan peluang latihan dan kerjaya menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Kerajaan turut memperkukuh ekosistem TVET melalui peningkatan peruntukan kepada RM8 bilion dalam Belanjawan 2027. Keperluan terhadap tenaga kerja mahir semakin ketara apabila 65.2 peratus daripada 99,030 peluang pekerjaan yang berpotensi diwujudkan melalui pelaburan diluluskan pada separuh pertama tahun 2026 melibatkan sektor berkaitan kemahiran.

Dalam usaha menghubungkan latihan dengan keperluan industri, kerjasama antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Samsung SDI Energy Malaysia menerusi Program Fast Track & Direct Industry Intake membuka peluang pekerjaan kepada 200 graduan TVET MARA dalam industri bateri kenderaan elektrik. Graduan yang terpilih berpeluang menerima gaji permulaan sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan.

Pencapaian graduan TVET Malaysia turut terserlah di peringkat antarabangsa apabila negara meraih satu pingat gangsa dan 13 Medal for Excellence di WorldSkills Shanghai 2026. Daripada jumlah tersebut, enam penerima merupakan peserta daripada institusi TVET di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

-Advertisement-

Bagi memperluas manfaat TVET kepada masyarakat, KKDW menggariskan tiga inisiatif strategik, iaitu Perjanjian Kerjaya Premium TVET KKDW, TVET Jana Desa serta Bengkel Pintar dan Hijau TVET@KKDW.

Ketiga-tiga inisiatif ini memberi tumpuan kepada penyelarasan latihan dengan keperluan industri, pembangunan perusahaan teknikal di kawasan desa serta penerapan teknologi baharu untuk meningkatkan produktiviti. Pendekatan tersebut juga bertujuan membuka lebih banyak peluang ekonomi setempat dan memperkukuh keupayaan usahawan desa.

Melalui penganjuran Ekspo TVET@KKDW 2026 dan pelaksanaan inisiatif strategik berkenaan, TVET terus diketengahkan sebagai laluan penting untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperluas peluang pekerjaan dan keusahawanan, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar. – The Capital Post