Geran KRT Aktif Naik kepada RM10,000 Mulai 2027

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING, 25 Oktober 2026 – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan dan membina komuniti yang berdaya tahan. Permintaan berterusan daripada masyarakat untuk menubuhkan KRT menunjukkan penerimaan positif rakyat terhadap kepentingan inisiatif tersebut.

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Dato’ Sri Aaron Ago Dagang, ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen Rukun Tetangga Peringkat Sarawak Tahun 2026 di Kuching pada 24 Oktober 2026.

Menurut beliau, jumlah KRT di seluruh negara meningkat daripada 8,348 pada tahun 2022 kepada 8,670 pada tahun 2026, iaitu pertambahan sebanyak 322 KRT dalam tempoh empat tahun. Peningkatan ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap peranan KRT sebagai platform kerjasama dan penggerak perpaduan di peringkat akar umbi.

Selain itu, sebanyak 101,157 aktiviti telah dilaksanakan oleh KRT di seluruh negara pada tahun lalu, merangkumi pelbagai bidang seperti kebudayaan, kesukarelawanan, ekonomi komuniti, pendidikan, keselamatan dan kemasyarakatan.

Dalam usaha memperkasa peranan KRT, Kerajaan MADANI turut mengumumkan peningkatan Geran KRT Aktif daripada RM6,000 kepada RM10,000 setahun mulai tahun 2027. Kenaikan sebanyak 66.7 peratus ini dilaksanakan selepas kadar geran tersebut kekal selama 13 tahun.

-Advertisement-

Peningkatan peruntukan itu bertujuan menyediakan sumber kewangan yang lebih mencukupi kepada KRT supaya lebih banyak aktiviti berimpak tinggi dapat dilaksanakan bagi memperkukuh perpaduan negara dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Langkah tersebut turut memperlihatkan pengiktirafan berterusan kerajaan terhadap KRT sebagai Strategic Community Partner dan Grassroots Force for National Unity, iaitu rakan strategik kerajaan serta penggerak utama perpaduan di peringkat akar umbi.

Dengan sokongan berterusan kerajaan dan penglibatan aktif masyarakat, KRT diharap dapat terus memperluas aktiviti kemasyarakatan, mengukuhkan hubungan antara penduduk serta memupuk semangat kebersamaan demi membina masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. – The Capital Post