Karnival HPM Sabah Catat Jualan RM263,000

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA KINABALU, 26 Oktober 2026 – Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) Edisi Sabah 2026 menutup tirainya selepas mencatatkan sambutan memberangsangkan dengan kehadiran 35,000 pengunjung, jualan melebihi RM263,000 serta potensi padanan perniagaan bernilai RM999,000 melibatkan 47 usahawan setakat 24 Oktober 2026.

Majlis Perasmian Penutupan Karnival HPM Edisi Sabah 2026 telah disempurnakan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, yang mewakili YAB Ketua Menteri Sabah.

Berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026 di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu, karnival bertemakan “Bikin Lokal Jadi Hebat, Usahawan Onsoiii!” itu menjadi platform untuk mempromosikan produk tempatan, memperluas jaringan perniagaan serta menggalakkan pendigitalan dalam kalangan usahawan.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus komited memperkasa ekosistem keusahawanan di Sabah menerusi penyaluran pembiayaan hampir RM1 bilion kepada 45,000 usahawan dan koperasi sehingga September 2026.

Selain itu, sebanyak RM30.53 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 134 projek Tamu Desa sepanjang tempoh 2024 hingga 2026. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha menyokong pembangunan ekonomi setempat serta memperkukuh peluang perniagaan kepada usahawan dan komuniti.

-Advertisement-

Karnival tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Usahawan Sabah TikTok Shop bagi mengiktiraf kejayaan usahawan memanfaatkan platform digital dalam mengembangkan perniagaan dan memperluas pasaran produk mereka.

Pencapaian dari segi jumlah pengunjung, jualan dan potensi padanan perniagaan memperlihatkan peluang yang boleh dimanfaatkan melalui platform promosi dan jaringan perniagaan. Penganjuran seumpama ini juga menyediakan ruang kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk, membina hubungan strategik dan meneroka potensi pasaran yang lebih luas.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Mohamad bin Alamin; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, YB Datuk Jafry Ariffin; Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud; serta ketua-ketua agensi.

Karnival HPM Edisi Sabah 2026 diharap dapat terus menjadi pemangkin kepada perkembangan usahawan tempatan, memperkukuh pendigitalan perniagaan serta meningkatkan daya saing produk buatan Malaysia, khususnya dari Sabah. – The Capital Post