Empat Amanat KSU Perkukuh Peranan AKPS

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 27 OKTOBER 2026 (The Capital Post) – Keselamatan sempadan, kelancaran urusan, perlindungan hasil negara serta integriti dan disiplin menjadi empat keutamaan utama yang perlu dijadikan pegangan oleh warga Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), YBhg. Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman, menegaskan kepentingan integriti sebagai asas utama dalam pelaksanaan tanggungjawab penguatkuasaan ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-2 AKPS pada 26 Oktober 2026.

“Integriti adalah benteng keramat yang tidak boleh diperdagangkan sama sekali,” tegas beliau.

Menurut amanat tersebut, AKPS terus memperkukuh kawalan sempadan negara menerusi pendekatan Single Border Agency yang menyatukan kawalan bersepadu di bawah satu rantaian arahan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan penyelarasan penguatkuasaan.

Usaha itu turut disokong oleh pelaksanaan Skim Perkhidmatan Baharu yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2026, latihan kepada 408 pegawai perintis serta pengoperasian secara berfasa berdasarkan tahap ancaman dan kesiapsiagaan sumber.

-Advertisement-

Dalam aspek perlindungan hasil negara, AKPS merekodkan nilai rampasan sebanyak RM322.74 juta sehingga Oktober 2026, iaitu empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Pencapaian tersebut mencerminkan usaha mempergiat tindakan membanteras penyeludupan serta melindungi kepentingan fiskal negara.

Selain itu, tiga syor keselamatan turut diberi penekanan, merangkumi pelaksanaan saringan berasaskan risiko, pengukuhan keupayaan unit anjing pengesan (K9) serta penyelarasan risikan bagi mempertingkat keupayaan pengesanan dan pencegahan ancaman di pintu masuk negara.

Kerjasama rentas agensi, termasuk melalui Ops Sundang, turut menjadi komponen penting dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan serta memastikan keselamatan sempadan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Empat amanat tersebut menjadi panduan kepada warga AKPS untuk melaksanakan tugas secara profesional, berdisiplin dan berintegriti, di samping memastikan urusan di pintu masuk negara berjalan lancar tanpa mengabaikan aspek keselamatan. – The Capital Post