KUALA LUMPUR, 27 OKTOBER 2026 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid menerusi Mesyuarat Permuafakatan PDRM bersama KPM 2026 yang berlangsung pada 26 Oktober 2026 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.
Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, dalam ucaptamanya menekankan kepentingan sinergi strategik antara PDRM dan KPM bagi memperkukuh agenda keselamatan murid di seluruh negara.
Kerjasama tersebut melibatkan seramai 16,157 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang ditempatkan di lebih 10,200 sekolah. Peranan PPS bersama pentadbir sekolah, guru dan murid terus diperkasakan bagi membantu mengesan potensi ancaman lebih awal serta meningkatkan tahap keselamatan di persekitaran sekolah.
Pendekatan pencegahan berasaskan risiko turut diberi penekanan melalui intervensi awal, bimbingan dan kaunseling, khususnya di sekolah yang dikenal pasti berisiko tinggi. Langkah ini bertujuan menangani isu keselamatan secara lebih terancang dan berkesan.
-Advertisement-
Mesyuarat berkenaan turut membincangkan pemantapan saluran komunikasi pantas, penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), pemanfaatan Buku MESRA PPS serta penglibatan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam usaha memperkukuh keselamatan sekolah.
Selain itu, penyelarasan antara wakil jabatan PDRM, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian turut diperkukuh bagi menilai keberkesanan kerjasama sedia ada serta menambah baik mekanisme pencegahan jenayah di sekolah.
Kerjasama rentas agensi ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mewujudkan persekitaran pendidikan yang selamat, kondusif dan sejahtera untuk semua murid.
Keselamatan sekolah merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan penglibatan aktif pihak berkuasa, warga pendidikan, ibu bapa dan masyarakat bagi memastikan perlindungan serta kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan. – The Capital Post