MOSTI Terima RM1.29 Bilion untuk 2027

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2026 – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Chang Lih Kang, telah menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Peringkat Dasar) bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas (2026) di Dewan Rakyat pada 26 Oktober 2026.

Perbahasan Belanjawan 2027 (Peringkat Dasar) bagi MOSTI melibatkan sembilan Ahli Yang Berhormat yang mengemukakan pelbagai pandangan serta membangkitkan isu berimpak tinggi berkaitan portfolio kementerian tersebut.

Bagi Belanjawan Malaysia MADANI 2027, MOSTI menerima peruntukan sebanyak RM775.46 juta untuk perbelanjaan mengurus, iaitu peningkatan sebanyak 2.08 peratus berbanding tahun sebelumnya. Selain itu, sebanyak RM516.93 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan untuk tahun 2027.

Peruntukan pembangunan tersebut mengekalkan momentum pelaksanaan inisiatif pembangunan MOSTI, dengan jumlah yang hampir sama seperti peruntukan RM516.22 juta pada tahun 2026.

MOSTI berhasrat memastikan Malaysia berupaya mencipta, memiliki dan membangunkan teknologi sendiri, selain membuka lebih banyak ruang kepada perusahaan serta tenaga mahir tempatan untuk berkembang dalam sektor sains, teknologi dan inovasi.

-Advertisement-

Dalam pelaksanaan Belanjawan 2027, kejayaan tidak hanya diukur melalui jumlah peruntukan yang disalurkan, tetapi juga berdasarkan kemajuan yang dapat dibuktikan, khususnya dalam menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penggunaan teknologi yang memberikan manfaat kepada negara dan rakyat.

Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Dr. Mohammad Yusof Apdal; Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan) MOSTI, YBhg. Datin Safida Zalma binti Mohd Piah; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip; serta setiausaha-setiausaha bahagian dan wakil bahagian, jabatan serta agensi di bawah kementerian.

Peruntukan Belanjawan 2027 ini diharap dapat memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan negara, memperluas penggunaan teknologi tempatan serta meningkatkan keupayaan Malaysia untuk bersaing dalam ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi. – The Capital Post