Kuala Lumpur, 28 Oktober 2026 – Kerajaan MADANI menyalurkan peruntukan berjumlah RM3.28 juta kepada 164 rumah ibadat Hindu, Sikh dan Kristian dalam kalangan masyarakat India di seluruh negara menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Kementerian Sumber Manusia.
Bantuan tersebut disalurkan melalui Program Dharma MADANI dan Program Harmoni MADANI bagi memperkukuh peranan rumah ibadat sebagai pusat pembangunan komuniti serta menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Di bawah Program Harmoni MADANI Siri 1, sebanyak RM1.38 juta diluluskan kepada 69 rumah ibadat yang terdiri daripada 57 gurdwara dan 12 gereja. Setiap rumah ibadat menerima bantuan sebanyak RM20,000 bagi menyokong aktiviti keagamaan, kerohanian, kebudayaan dan kemasyarakatan.
Sementara itu, Program Dharma MADANI Fasa 2 melibatkan bantuan berjumlah RM1.9 juta kepada 95 rumah ibadat Hindu di seluruh negara.
Dengan peruntukan terbaharu tersebut, jumlah keseluruhan bantuan yang diluluskan di bawah Program Dharma MADANI mencecah RM15.42 juta, melibatkan 771 rumah ibadat Hindu di seluruh negara.
-Advertisement-
Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, menyatakan bahawa kedua-dua program itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa institusi rumah ibadat dan memperluas peranannya dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat India.
Bantuan kewangan berkenaan turut bertujuan mempergiat aktiviti komuniti yang memberi manfaat, khususnya dalam bidang pendidikan, pembangunan kerohanian dan sahsiah, kebudayaan serta pemerkasaan generasi muda.
Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh sokongan terhadap inisiatif pembangunan komuniti bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat India, di samping memupuk keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. – The Capital Post