Putrajaya, 28 Oktober 2026 – Kementerian Digital Malaysia dan Kementerian Pembangunan Digital dan Maklumat (MDDI) Singapura memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang digital menerusi Sesi Konsultasi Dua Hala Kedua antara kedua-dua negara yang berlangsung pada 26 Oktober 2026.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar, manakala delegasi Singapura diketuai oleh Puan Foo Chi Hsia.
Sesi konsultasi tersebut dilaksanakan di bawah kerangka Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Singapura mengenai Kerjasama dalam Bidang Perlindungan Data Peribadi, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital yang ditandatangani pada tahun 2023.
Platform berkenaan membuka ruang kepada kedua-dua negara untuk bertukar-tukar pandangan, berkongsi perkembangan terkini serta meneroka peluang kerjasama strategik dalam menyokong agenda transformasi digital masing-masing.
-Advertisement-
Kerjasama ini turut mencerminkan komitmen Malaysia dan Singapura untuk memperluas hubungan dalam sektor digital, khususnya dalam aspek perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan pembangunan ekonomi digital yang memberi manfaat bersama.
Melalui inisiatif seperti ini, Malaysia terus berusaha memperkukuh kedudukannya dalam ekosistem digital serantau, selaras dengan aspirasi Kementerian Digital untuk memacu negara ke arah Negara AI 2030. – The Capital Post