Malaysia-Singapura Perkukuh Kerjasama Kecemasan RTS Link

Estimate Reading Time: < 1 minute

Johor Bahru, 29 Oktober 2026 – Malaysia dan Singapura memperkukuh kerjasama keselamatan serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan rentas sempadan menerusi Latihan Bersama Rentas Sempadan RTS Link Malaysia-Singapura yang berlangsung pada 27 Oktober 2026.

Latihan lapangan atau Field Training Exercise (FTX) itu bertujuan menguji kesiapsiagaan operasi dan penyelarasan agensi kedua-dua negara dalam mengendalikan situasi kecemasan di laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Link.

Antara senario yang diuji termasuk operasi pemadaman kebakaran secara bersama, proses penilaian dan pengasingan keutamaan rawatan mangsa (medical triage), serta penyelarasan pemindahan mangsa merentasi sempadan.

Latihan itu melibatkan pelbagai agensi Malaysia, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Singapura pula diwakili oleh Immigration and Checkpoints Authority (ICA), Singapore Police Force dan Singapore Civil Defence Force.

-Advertisement-

Latihan tersebut diakhiri dengan Majlis Penutupan Bersama pada 28 Oktober 2026 di Depoh RTS Wadi Hana, Johor Bahru. Majlis itu disempurnakan bersama oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, dan Menteri Kedua Ehwal Luar serta Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Singapura, Ms. Sim Ann.

Pelaksanaan latihan bersama ini mencerminkan hubungan erat serta kerjasama berterusan antara Malaysia dan Singapura dalam memastikan perjalanan rentas sempadan yang selamat, terjamin dan boleh dipercayai apabila perkhidmatan RTS Link mula beroperasi.

Kedua-dua negara juga akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi dan pihak berkepentingan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta daya tahan dalam menghadapi sebarang insiden yang berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna dan operasi RTS Link. – The Capital Post