Kangar, 30 Oktober 2026 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempergiat pemantauan pembangunan fasiliti pendidikan inklusif menerusi lawatan kerja ke tapak Projek Ubah Suai Satu Blok Bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Panggau, Kangar, yang bakal dijadikan Pusat PERMATA Kurnia pertama di negeri Perlis.
Lawatan pada 29 Oktober 2026 itu diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, dengan diiringi Setiausaha Bahagian PERMATA KPM, Dr. Nor Suhara Fadzil.
Lawatan tersebut bertujuan meneliti status kemajuan fizikal semasa serta perancangan pelaksanaan projek bagi memastikan pembangunan berjalan mengikut perancangan. Delegasi turut diberikan taklimat oleh Jurutera Awam Kanan Bahagian Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis, Ir. Mohd Hafizi Mat Akhir, selaku wakil agensi pelaksana.
Projek yang berlokasi di SK Panggau itu dijangka siap pada November 2028 dan mampu menampung sehingga 90 orang murid apabila beroperasi pada kapasiti penuh.
Sepanjang tinjauan di tapak, Dato’ Dr. Megat Sany turut meneliti secara dekat perincian kerja yang sedang dilaksanakan serta mendengar cadangan penambahbaikan reka bentuk bersama pihak JKR Perlis dan kontraktor.
-Advertisement-
Penelitian tersebut bertujuan memastikan fasiliti yang dibangunkan memenuhi piawaian, menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta memberi manfaat kepada kanak-kanak berkeperluan khusus dan komuniti setempat.
Turut menyertai lawatan ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Tuan Haji Che Rasaidi bin Che Yob; Pengarah Pusat PERMATA Kurnia, Dr. Zuraidah Ismail; serta Guru Besar SK Panggau, Muainah binti Ismail.
Delegasi turut melibatkan wakil Bahagian Pembangunan KPM, Bahagian Pengurusan Aset KPM, JPN Perlis, JKR Perlis serta pegawai kanan kementerian.
Pembangunan Pusat PERMATA Kurnia Perlis dijangka memperluas akses kepada kemudahan pendidikan khusus di negeri itu, di samping menyediakan persekitaran yang lebih sesuai bagi menyokong perkembangan dan pembelajaran murid berkeperluan khusus. – The Capital Post