Kuala Lumpur, 30 Oktober 2026 – Program KENDALI MADANI dilancarkan sebagai inisiatif strategik untuk memperkukuh pembangunan tenaga kerja profesional dalam sektor penjagaan negara menerusi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pengiktirafan kemahiran secara formal.
Majlis peluncuran program tersebut disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail, di Bangunan Parlimen Malaysia pada 29 Oktober 2026.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada peningkatan kompetensi, profesionalisme dan pengiktirafan kemahiran tenaga kerja penjagaan, khususnya individu yang menyediakan perkhidmatan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan Yayasan MyPrihatin bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan kemahiran, pelaksanaan latihan TVET serta persijilan dalam sektor penjagaan.
Menerusi Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM), individu yang mempunyai pengalaman dalam bidang penjagaan berpeluang mendapatkan pengiktirafan kemahiran secara formal melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT), tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh JPK.
-Advertisement-
Pendekatan itu membolehkan pengalaman dan kepakaran sedia ada dinilai serta diiktiraf, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, membuka peluang kerjaya dan memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap mutu perkhidmatan penjagaan.
KENDALI MADANI menyasarkan penyertaan seramai 5,000 peserta dalam latihan yang akan dilaksanakan secara berfasa sepanjang tempoh tiga tahun bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja penjagaan yang kompeten dan berkualiti.
Selain itu, majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian watikah jalinan kerjasama oleh Yayasan MyPrihatin kepada 13 agensi strategik yang terdiri daripada institusi pengajian tinggi, organisasi penyelidikan, badan profesional dan rakan pelaksana.
Pelaksanaan program ini diharap dapat meningkatkan pengiktirafan terhadap sektor penjagaan sebagai satu bidang kerjaya profesional yang dihormati dan diyakini, di samping memastikan golongan yang memerlukan mendapat akses kepada perkhidmatan penjagaan berkualiti. – The Capital Post