Kuala Lumpur, 30 Oktober 2026 – Seramai 35 individu dan organisasi menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Negara 2025 sebagai penghargaan terhadap komitmen serta kecemerlangan dalam membudayakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat.
Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus bin Akbar Khan, di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 29 Oktober 2026.
Penganjuran anugerah itu merupakan usaha bersama Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi mengiktiraf individu dan organisasi yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap pelaksanaan sistem pengurusan KKP di tempat kerja.
Sebanyak 346 penyertaan dari seluruh negara telah melalui proses penilaian oleh panel penilai dan juruaudit JKKP yang berpengalaman serta kompeten sebelum penerima dipilih untuk menerima pengiktirafan.
Anugerah ini turut menekankan kepentingan kepimpinan organisasi, penglibatan aktif majikan dan pekerja, pematuhan terhadap perundangan serta pelaksanaan usaha berterusan dalam mengenal pasti dan mengawal risiko pekerjaan.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem pekerjaan negara, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus memberi penekanan kepada pelaksanaan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2026–2030 (OSHMP30) yang bertemakan “Membina Persekitaran KKP yang Berdaya Tahan dan Inklusif untuk Tenaga Kerja Masa Hadapan”.
-Advertisement-
Pelan tersebut merangkumi aspek pengukuhan tadbir urus, kesejahteraan pekerja, pendigitalan serta perlindungan sektor berisiko tinggi dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Selain itu, perhatian turut diberikan kepada cabaran baharu dalam dunia pekerjaan termasuk pekerjaan gig, pengaturan kerja hibrid dan perubahan teknologi yang memerlukan pendekatan keselamatan serta kesihatan pekerjaan yang lebih menyeluruh.
Penganjuran Anugerah KKP Negara 2025 juga mencerminkan komitmen Malaysia terhadap Konvensyen C187 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam memperkukuh budaya pencegahan keselamatan dan kesihatan pekerjaan secara sistematik serta berterusan.
Pengiktirafan kepada 35 penerima diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak organisasi untuk memperkukuh amalan keselamatan di tempat kerja, sekali gus memastikan kesejahteraan dan perlindungan tenaga kerja terus menjadi keutamaan. – The Capital Post