PETALING JAYA, 1 November 2026 – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh usaha melindungi kebajikan warga emas menerusi kerjasama strategik dan sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta.
Usaha tersebut dizahirkan menerusi penyertaan KPWKM dalam program Forum & Exhibition bertemakan “Ageing with Dignity: Shaping Malaysia’s Older Persons Bill for a Just and Caring Society” yang berlangsung di Auditorium Tun Tan Cheng Lock, College of Nursing School, Assunta Hospital, Petaling Jaya, Selangor.
Delegasi KPWKM diketuai oleh Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Masyarakat (BKM), YBrs. Encik Asmar Asmadi Abdullah Sani, bersama pegawai Unit Dasar Warga Emas, BKM.
Dalam program berkenaan, beliau menyampaikan ucaptama serta menyertai sesi perbincangan panel bertajuk “From Policy to Law: The Legal Architecture of the Older Persons Bill” yang membincangkan kerangka perundangan dan hala tuju penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Warga Emas.
-Advertisement-
Penyertaan KPWKM turut menjadi platform penting untuk mengadakan sesi libat urus strategik bersama wakil NGO dan pihak swasta bagi mendapatkan pandangan, cadangan serta input substantif dalam usaha menambah baik RUU Perlindungan Warga Emas dan Dasar Warga Emas Negara.
Pendekatan inklusif ini penting bagi memastikan dasar dan perundangan yang digubal mengambil kira keperluan, cabaran serta realiti kehidupan warga emas, di samping memperkukuh peranan pelbagai pihak dalam ekosistem penjagaan dan perlindungan golongan tersebut.
KPWKM menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama erat dengan semua pihak dalam memperkasa perlindungan dan kesejahteraan warga emas demi membentuk masyarakat yang lebih prihatin serta menghormati hak dan maruah golongan berkenaan. – The Capital Post