SHAH ALAM, 1 November 2026 – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih satu Anugerah Platinum dan dua Anugerah Emas menerusi tiga inisiatif inovasi sempena Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026.
Persidangan anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu berlangsung pada 28 hingga 29 Oktober 2026 di Selangor International Trade Centre (SITEC), Shah Alam.
Pengiktirafan Anugerah Platinum diberikan kepada Sistem InfoBencanaJKM/MyIBJKM yang berjaya mempercepatkan proses Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada enam bulan kepada hanya tujuh hari menerusi pendigitalan perkhidmatan dan kerjasama strategik bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Inisiatif tersebut membolehkan penyelarasan data dilaksanakan dengan lebih cekap, sekali gus mempercepatkan penyaluran bantuan kepada mangsa bencana.
Sementara itu, dua Anugerah Emas turut menjadi milik JKM menerusi inisiatif mempercepatkan pelaporan Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (IKSP) kes tular daripada empat hari kepada satu hari serta penambahbaikan proses pengeluaran Kad Orang Kurang Upaya (OKU) kepada hanya satu hari oleh JKM Negeri Pulau Pinang.
Inisiatif IKSP yang digerakkan oleh pegawai psikologi JKM melibatkan penambahbaikan proses kerja, penyeragaman format pelaporan dan pendigitalan pengurusan maklumat bagi memastikan penyelarasan serta tindakan intervensi dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan sistematik.
-Advertisement-
Bagi pengeluaran Kad OKU pula, inovasi berkenaan bukan sahaja meningkatkan kecekapan urusan, malah menjimatkan masa pelanggan dan memudahkan golongan OKU mendapatkan perkhidmatan JKM.
Ketiga-tiga pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan JKM dalam melaksanakan inovasi, pendigitalan dan penambahbaikan proses kerja bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Untuk rekod, daripada 159 penyertaan yang diterima, sebanyak 52 agensi telah dipilih untuk menerima Anugerah Platinum. Kesemua penerima anugerah berkenaan akan diangkat kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi Majlis Pengiktirafan RKB 2027 yang dirancang berlangsung pada suku pertama tahun 2027.
Pencapaian ini turut menjadi pengiktirafan terhadap usaha dan dedikasi warga JKM, khususnya pasukan yang terlibat dalam menjayakan ketiga-tiga inisiatif inovasi tersebut demi memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang lebih pantas, cekap dan responsif. – The Capital Post