GEORGETOWN, 1 November 2026 – Program MADANI Kita (PMK) yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK(C)) Li Tek, Georgetown, Pulau Pinang, melabuhkan tirainya pada 31 Oktober 2026 dengan menawarkan pelbagai inisiatif dan perkhidmatan secara langsung kepada masyarakat setempat.
Program tersebut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan rakyat menerusi pendekatan turun padang, selain memudahkan komuniti mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan perkhidmatan daripada agensi kerajaan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mengambil bahagian menerusi penyertaan beberapa bahagian dan agensi di bawah kementerian, termasuk Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK KDN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Antara pengisian yang disediakan ialah kempen Jom Exchange Al-Quran (JEQ) kendalian PK KDN yang bertujuan menggalakkan penggunaan teks Al-Quran yang sahih dan diluluskan.
-Advertisement-
Selain itu, JPN turut membuka kaunter perkhidmatan bergerak serta menyediakan khidmat nasihat berkaitan dokumen pengenalan diri bagi memudahkan urusan masyarakat.
RELA pula menawarkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma khusus kepada para pengunjung yang hadir ke program berkenaan.
Penyertaan KDN dalam PMK mencerminkan usaha kementerian untuk mendekati masyarakat melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih mudah diakses, di samping meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kemudahan dan inisiatif yang disediakan oleh agensi kerajaan. – The Capital Post