Aini Ideris Dinobat Tokoh Akademik Negara Ke-17

Estimate Reading Time: 2 minutes

KLANG, 1 November 2026 – Academician Prof. Emeritus Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara Ke-17 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam bidang perubatan veterinar, khususnya penyelidikan penyakit unggas dan bioteknologi haiwan.

Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir sempena Majlis Anugerah Akademik Negara Ke-17 (AAN17) yang turut menghimpunkan komuniti akademik negara.

Sepanjang kerjaya akademiknya, Prof. Emeritus Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini telah menghasilkan beberapa inovasi vaksin, termasuk vaksin penyakit Newcastle NDV4-UPM dan vaksin cacar ayam yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau turut mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Naib Canselor UPM bagi tempoh 2016 hingga 2020.

Dalam ucapannya, YB Menteri Pendidikan Tinggi menegaskan bahawa golongan akademia perlu memainkan peranan sebagai intelektual awam yang bukan sahaja menghasilkan penerbitan ilmiah, penyelidikan dan geran, malah turut menyumbang idea, mencabar pemikiran konvensional serta membimbing masyarakat memahami isu semasa.

Beliau turut mengingatkan bahawa kecemerlangan akademik tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian dan kedudukan universiti semata-mata, sebaliknya perlu dinilai melalui manfaat ilmu terhadap kehidupan manusia.

Selain itu, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan perlu diseimbangkan agar tidak menjejaskan keupayaan pelajar untuk berfikir secara kritis, berkomunikasi dan membentuk jati diri.

-Advertisement-

Dalam majlis sama, Anugerah Ahli Akademik Harapan diberikan kepada Prof. Dr. Ong Wee Jun dari Universiti Xiamen Malaysia (XMUM) dan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Serene Lock Sow Mun dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).

Bagi kategori Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, pengiktirafan diberikan kepada Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi Abu Husain dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sementara itu, Anugerah Penerbitan Buku dimenangi Dr. Siti Noor Hafizah Mohamed Sharif dari Universiti Sains Malaysia (USM), manakala Anugerah Pengajaran (Sastera dan Sains Sosial) diberikan kepada Prof. Madya Dr. Saipolbarin Ramli dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Anugerah Pengajaran (Sains Tulen) pula dimenangi Prof. Madya Dr. Jayanthi Arasan dari UPM. Bagi kategori Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Dr. Ooi Say Keat dari USM menerima pengiktirafan bagi bidang Sains Sosial dan Sastera, manakala Prof. Ir. Dr. Yong Wai Fen dari XMUM bagi bidang Sains.

Penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara menerima wang tunai sebanyak RM200,000 berserta trofi dan sijil. Penerima Anugerah Ahli Akademik Harapan pula menerima wang tunai RM50,000, manakala penerima kategori anugerah lain menerima wang tunai RM25,000 berserta trofi dan sijil.

Untuk rekod, Anugerah Akademik Negara merupakan program tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dilaksanakan sejak 2002 di bawah kendalian Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi. Penganjuran AAN17 pada tahun ini dilaksanakan dengan kerjasama USM dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). – The Capital Post