KPN Peruntuk RM500,000 Untuk Kampung Panggas Kecil

Estimate Reading Time: < 1 minute

KANGAR, 2 November 2026 – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi pembangunan dan penambahbaikan kemudahan infrastruktur di Kampung Panggas Kecil, Kangar, Perlis menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI.

Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI KPN itu telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Haslina binti Abdul Hamid pada 1 November 2026.

Pelaksanaan projek melibatkan beberapa komponen pembangunan dan penambahbaikan kemudahan komuniti, termasuk menaik taraf surau, pembinaan dewan terbuka, penyediaan kemudahan Skim Rondaan Sukarela (SRS) serta pembaikan rumah golongan asnaf.

Inisiatif itu turut merangkumi pemasangan 40 unit lampu solar dengan kerjasama Pusat TVET, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi meningkatkan kemudahan dan keselamatan persekitaran kampung.

-Advertisement-

Lebih daripada pembangunan infrastruktur, pelaksanaan Kampung Angkat MADANI mencerminkan pendekatan KPN yang mengutamakan kerjasama strategik, pemindahan kepakaran serta penglibatan aktif komuniti dalam mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih selesa, selamat dan sejahtera.

Usaha berkenaan diharap dapat memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan penduduk, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati bersama oleh komuniti setempat. – The Capital Post