AYER KEROH, 2 November 2026 – Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, menyempurnakan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) 2026 Peringkat Kebangsaan di perkarangan AEON Melaka Shopping Centre, Ayer Keroh, hari ini.
Bertemakan “Memperkasa Rakyat, Membudayakan Amalan Sihat, Membina Malaysia Sejahtera”, sambutan itu merupakan inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi meningkatkan tahap celik kesihatan serta membudayakan gaya hidup sihat melalui kerjasama kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan, komuniti, institusi pendidikan, tempat kerja, media dan rakyat.
Menurut Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sebanyak 15.6 peratus orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, manakala 29.2 peratus mempunyai hipertensi dan 33.3 peratus mengalami hiperkolesterolemia.
Tinjauan sama turut mendapati 54.4 peratus orang dewasa mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, sementara 54.5 peratus mempunyai obesiti abdomen.
Dari aspek gaya hidup, 29.9 peratus orang dewasa dilaporkan tidak aktif secara fizikal dan 49.9 peratus mengamalkan gaya hidup sedentari. Lebih membimbangkan, 95.1 peratus tidak mengambil sekurang-kurangnya lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari.
Sehubungan itu, komuniti turut digerakkan sebagai rakan strategik kerajaan dalam usaha membudayakan amalan hidup sihat menerusi Geran Projek Promosi Kesihatan MyCHAMPION (GPPKM).
-Advertisement-
Sejak 2025 hingga Oktober 2026, sebanyak 228 permohonan geran telah diluluskan, termasuk tujuh projek komuniti di Melaka, dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM3,381,118.
Pada majlis berkenaan, seramai 19 sukarelawan MyCHAMPION menerima geran berjumlah RM834,650 bagi melaksanakan projek intervensi pengurusan berat badan di seluruh negara.
Melalui pendekatan keseluruhan komuniti (whole-of-society), sukarelawan Malaysia Community Health Agent (MyCHAMPION) berperanan sebagai antara penggerak utama dalam menggalakkan amalan hidup sihat. Pemberian geran itu diharap dapat memperkukuh inisiatif komuniti serta mendorong perubahan tingkah laku kesihatan yang positif.
Sambutan BMSS bukan sekadar menjadi platform meningkatkan kesedaran rakyat, malah bertujuan membudayakan penjagaan kesihatan kendiri melalui peningkatan celik kesihatan, perubahan tingkah laku dan pembentukan persekitaran yang menyokong amalan hidup sihat.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YB Datuk Wira Salhah binti Salleh; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam bin Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) KKM, Dato’ Sri Zahrul Hakim bin Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Ismuni bin Bohari; Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM, Encik Aziman bin Mahdi; Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Husnina binti Ibrahim; serta Pengerusi Kanan Operasi Pusat Beli-Belah AEON Wilayah 1 Lembah Klang, Encik Amran bin Latif. – The Capital Post