MALAYSIA, 3 November 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengenal pasti kekurangan istilah teknikal Bahasa Melayu yang seragam sebagai antara cabaran utama dalam usaha memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan, khususnya dalam bidang sains, geospatial, perundangan dan perubahan iklim.
Dapatan itu diperoleh menerusi kajian yang melibatkan 697 maklum balas dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Pelaksana Bahasa Kebangsaan NRES yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin, pada 2 November lalu.
Mesyuarat berkenaan turut memberi tumpuan kepada pematuhan dasar penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan, komunikasi korporat serta penyampaian maklumat kementerian, termasuk melalui portal rasmi dan papan tanda fizikal.
Antara perkara yang dibincangkan ialah pelaksanaan Ceraian PO 1.1.1 berkaitan pemerkasaan bahasa dalam perkhidmatan awam, laporan aktiviti sepanjang 2026 serta status pelaksanaan Munsyi Muda Bahasa NRES.
-Advertisement-
Perbincangan tersebut turut melibatkan Timbalan Ketua Pengarah (Korporat dan Ekonomi) Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Siti Aminah Abdul Sarif, serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan, Abd Shukor Jamaluddin.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Hj. Roslan Rani; Timbalan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan II Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Lsr Haji Muhammad Salim Mohammed Asari; serta Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Azahani Abd Aziz.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen kementerian untuk memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan dalam pentadbiran dan komunikasi rasmi, di samping menangani cabaran penggunaan istilah teknikal dalam bidang berkaitan – The Capital Post