KPM Perkukuh Kesiapsiagaan Hadapi Gangguan Perkhidmatan Pendidikan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 3 November 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkukuh kesiapsiagaan organisasi menerusi Pelan Kesinambungan Perkhidmatan (PKP) bagi memastikan penyampaian perkhidmatan pendidikan dapat diteruskan ketika berdepan gangguan atau situasi luar jangka.

Usaha itu dilaksanakan melalui Bengkel Kerja Pengukuhan Pelan Kesinambungan Perkhidmatan KPM Tahun 2026 yang dianjurkan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) dengan kerjasama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).

Bengkel yang berlangsung di Ideas Hotel, Kuala Lumpur pada 2 November itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM, Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak.

Penganjuran bengkel berkenaan merupakan antara langkah strategik kementerian untuk memperkukuh keupayaan organisasi dalam menghadapi sebarang gangguan yang berpotensi menjejaskan kelancaran operasi dan penyampaian perkhidmatan pendidikan.

-Advertisement-

Inisiatif itu turut memberi penekanan kepada kepentingan perancangan kesinambungan perkhidmatan bagi memastikan fungsi utama kementerian dapat dikekalkan dalam pelbagai keadaan.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, bengkel tersebut mencerminkan komitmen KPM dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan organisasi serta memastikan kelangsungan penyampaian perkhidmatan pendidikan kepada masyarakat – The Capital Post