KUALA LUMPUR 7 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Kementerian Perpaduan Negara merangka tiga pendekatan utama bagi memperkukuh inisiatif Merakyatkan Muzium menjelang 2027, sekali gus memastikan institusi permuziuman kekal dinamik, inklusif dan dekat dengan masyarakat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata pendekatan pertama memberi tumpuan kepada peluasan program muzium bersama komuniti melalui penglibatan secara langsung masyarakat setempat.
Menurut beliau, masyarakat perlu diberikan peranan sebagai rakan pemelihara warisan kerana mereka merupakan sumber penting yang memiliki pengetahuan, pengalaman dan tradisi yang membentuk khazanah negara.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Nostalgia Anak Kampung bertemakan “Kerja Kampung” di Dataran Muzium Negara, di sini malam tadi.
Bagi pendekatan kedua, Aaron berkata kementerian akan mempercepat usaha pendigitalan khazanah negara supaya koleksi sejarah dan bahan warisan dapat diakses oleh orang ramai tanpa batasan masa dan lokasi.
Penggunaan teknologi seperti galeri maya, realiti terimbuh (AR) dan kecerdasan buatan (AI) juga akan diperluas bagi menawarkan pengalaman penerokaan warisan yang lebih interaktif serta menarik.
Sementara itu, pendekatan ketiga memberi keutamaan kepada usaha menarik minat generasi muda menerusi pelaksanaan program seperti Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM), Bermalam di Muzium dan Program Kurator Muda.
Aaron berkata kajian Universiti Utara Malaysia melibatkan 1,036 responden mendapati golongan muda secara umumnya mempunyai pandangan positif terhadap muzium, namun masih berdepan beberapa kekangan termasuk kekurangan masa, maklumat dan tanggapan bahawa aktiviti muzium kurang menarik.
-Advertisement-
Justeru, cabaran utama institusi permuziuman bukan sekadar meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan sejarah, tetapi turut melibatkan usaha menjadikan pengalaman mengenali warisan lebih menarik, mudah diakses dan bersesuaian dengan kehidupan generasi muda.
Beliau turut menegaskan bahawa muzium memainkan peranan penting dalam pembinaan negara bangsa kerana institusi berkenaan menyimpan memori kolektif negara serta kisah, sumbangan dan warisan setiap komuniti di Malaysia.
Menurutnya, kepelbagaian sejarah dan sumbangan masyarakat perlu diberikan ruang dalam naratif nasional bagi memperkukuh pemahaman bahawa pembentukan Malaysia adalah hasil usaha bersama seluruh rakyat.
Dalam perkembangan sama, Aaron memaklumkan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) telah menganjurkan 100 program sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini menerusi inisiatif Citra Nusa, Fiesta Uniti, seminar dan program komuniti.
JMM turut memperluas jaringan kerjasama dengan 55 rakan strategik daripada sektor awam dan swasta, termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Program Nostalgia Anak Kampung yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Citra Nusa@Muzium berlangsung dari 6 hingga 8 November dengan menawarkan pelbagai aktiviti, antaranya pameran warisan, bengkel kesenian tradisional dan zoo kampung.
Usaha memperkukuh inisiatif Merakyatkan Muzium diharap dapat menjadikan institusi permuziuman lebih dekat dengan masyarakat, selain memupuk penghargaan terhadap sejarah dan warisan bersama dalam kalangan generasi masa kini – The Capital Post.