Annuar Rapaee Seru Bumiputera Rebut Peluang

Estimate Reading Time: < 1 minute

SIBU 7 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Masyarakat bumiputera di Sarawak diseru agar memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan dan pembangunan yang disediakan kerajaan negeri, tanpa mempertikaikan ruang yang turut diberikan kepada kaum lain.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, dasar keterangkuman kerajaan Sarawak memastikan setiap lapisan masyarakat berpeluang menikmati kemudahan pendidikan dan pembangunan selagi memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.

Menurut beliau, masyarakat bumiputera seharusnya memberikan perhatian kepada usaha memastikan anak-anak mereka tidak melepaskan peluang yang tersedia, berbanding mempersoalkan hak kaum lain untuk mendapatkan manfaat sama.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesra Bersama Pemuda Nangka di sini malam tadi.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, sepanjang 15 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa tiada golongan masyarakat harus diketepikan daripada arus pembangunan berdasarkan latar belakang kaum.

-Advertisement-

Dalam pada itu, Annuar mengakui masih terdapat permasalahan rakyat yang belum dapat diselesaikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan setiap amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin demi kepentingan masyarakat setempat.

Beliau turut mengingatkan bahawa peluang yang disediakan kerajaan perlu dimanfaatkan secara optimum agar semua lapisan masyarakat dapat bersama-sama menikmati kemajuan dan pembangunan negeri Sarawak – The Capital Post.