Jalan Rawang-Kuala Selangor Ditutup Akibat Tanah Runtuh

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 7 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Laluan di Seksyen 9.90 Jalan Rawang-Kuala Selangor (B27), daerah Gombak, ditutup sepenuhnya susulan kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat yang berlaku malam semalam.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam dan melibatkan kegagalan cerun atas serta cerun bawah sehingga menyebabkan sebahagian struktur jalan runtuh.

Insiden itu turut mengakibatkan beberapa pokok tumbang dan menghalang keseluruhan laluan kenderaan di kawasan berkenaan.

Menurut JKR Selangor, penutupan jalan telah dilaksanakan oleh JKR Daerah Gombak, manakala maklumat mengenai laluan alternatif turut disebarkan menerusi Facebook JKR Selangor dan JKR Daerah Gombak pada pagi ini.

Kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang menyebabkan kemasukan air ke dalam tanah meningkat, sekali gus menjadikan kawasan cerun tepu dengan air.

Keadaan itu mencetuskan peningkatan tekanan air dalam liang tanah sehingga menyebabkan cerun menjadi tidak stabil dan berlaku pergerakan tanah yang merosakkan sebahagian struktur jalan.

Bagaimanapun, siasatan serta penilaian teknikal secara terperinci masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

-Advertisement-

Dalam usaha mengawal keadaan, Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah diaktifkan, termasuk pemasangan papan tanda penutupan jalan dan lencongan untuk memaklumkan pengguna jalan raya.

JKR Selangor turut memasang helaian kanvas kalis air (tarpaulin sheet) buat sementara waktu pada permukaan tebing jalan dan cerun yang terjejas bagi mengurangkan risiko hakisan serta runtuhan susulan.

Kerja pembersihan tanah runtuh dan pokok tumbang di bahagian cerun atas juga telah dilaksanakan oleh pihak konsesi jalan negeri, selain pemantauan berterusan terhadap pergerakan struktur jalan dan kestabilan cerun.

Menurut kenyataan itu, pembinaan laluan lencongan di kawasan terjejas sedang dirancang untuk kegunaan kenderaan ringan, tertakluk kepada penilaian teknikal berkaitan keselamatan dan kestabilan cerun.

Pembukaan semula laluan hanya akan diumumkan selepas pihak berkuasa berpuas hati bahawa keadaan jalan selamat untuk digunakan serta laluan lencongan bagi kenderaan ringan tersedia.

Pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi arahan penutupan dan menggunakan laluan alternatif yang telah dimaklumkan bagi mengelakkan risiko keselamatan. – The Capital Post