Kerjasama Pekebun Kecil Sawit Dibawa Ke Kabinet

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 7 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Kerajaan akan membincangkan cadangan memperkukuh kerjasama antara syarikat perladangan dengan pekebun kecil kelapa sawit dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan bagi merapatkan jurang produktiviti serta meningkatkan pendapatan kedua-dua pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan khusus perlu dirangka bagi membolehkan syarikat perladangan membantu pekebun kecil meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil, sekali gus memastikan mereka memperoleh pulangan yang lebih baik.

Beliau berkata, meskipun sektor perladangan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada ekonomi negara, perbezaan pencapaian antara syarikat perladangan besar dengan pekebun kecil yang berpendapatan rendah masih perlu diberi perhatian.

Anwar berkata demikian ketika menjadi moderator Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri Ke-14 yang bertemakan “Daya Tahan Negara dalam Keterjaminan Makanan bagi Mendepani Ketidaktentuan Global” di sini malam tadi.

Forum anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama SD Guthrie Bhd itu turut menampilkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Pegawai Eksekutif PNB Research Institute, Dr Sarena Che Omar sebagai ahli panel.

Menurut Anwar, beliau pernah mengutarakan cadangan kerjasama seumpama itu ketika mengadakan pertemuan dengan wakil sektor perladangan di Taiping, Perak, kira-kira dua hingga tiga tahun lalu.

-Advertisement-

Beliau turut mengingatkan bahawa masalah kekurangan modal, produktiviti yang rendah serta kelemahan sistem pemasaran sekian lama menjadi cabaran kepada golongan petani kecil dan nelayan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, pekebun kecil sawit bebas secara purata mencatatkan hasil sekitar dua tan sehektar, berbanding empat tan sehektar yang direkodkan syarikat berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa keadaan pokok yang semakin berusia serta kekurangan bantuan bagi tujuan pembajaan dan penanaman semula antara faktor yang menyumbang kepada perbezaan produktiviti tersebut.

Mohd Haris turut berkongsi model kerjasama di Indonesia yang boleh dijadikan contoh, apabila syarikat perladangan menyediakan pembiayaan bagi kos penanaman semula sebelum pekebun kecil menjual hasil sawit mereka kepada syarikat terbabit. – The Capital Post